Perkara 1
Nama, Negeri-Negeri dan wilayah-wilayah Persekutuan
1. (1) Persekutuan dinamai Malaysia dalam bahasa Melayu dan dalam bahasa Inggeris.
(2) Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada—
(a) Negeri-Negeri Tanah Melayu, iaitu, Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan (b) Negeri-Negeri Borneo, iaitu, Sabah dan Sarawak.
(3) Tertakluk kepada Fasal (4), wilayah-wilayah bagi setiap Negeri yang disebut dalam Fasal (2) ialah wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri-Negeri itu sebaik sebelum Hari Malaysia.
(4) Wilayah bagi Negeri Selangor tidaklah termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1973 [Akta A206] dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) 2001 [Akta A1095] dan wilayah bagi Negeri Sabah tidaklah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1984 [Akta A585], dan kesemua Wilayah Persekutuan tersebut hendaklah menjadi wilayah-wilayah Persekutuan.